Powered By Blogger

Saturday, May 15, 2010

Lembaga Pengarah perlu letak jawatan

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 14 Mei – Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Sime Darby Berhad juga perlu meletakkan jawatan sebagai memikul tanggungjawab bersama ekoran kerugian RM1.63 bilion yang ditanggung syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

Senator Musa Sheikh Fadzir (gambar) yang membuat gesaan itu berkata, adalah tidak adil jika beban kesalahan ekoran kerugian itu diletakkan di bahu Ketua Eksekutif Kumpulan (GCE) Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid semata-mata.

‘‘Sebarang keputusan termasuk dalam soal pelaburan syarikat ia pastinya memerlukan kelulusan atau budi bicara pihak lembaga pengarah syarikat sendiri.

‘‘Kalau GCE (Ahmad Zubir) diminta bercuti seolah-olah satu hukuman untuk berhenti (meletakkan jawatan), barisan ahli lembaga pengarah juga perlu meletakkan jawatan kerana mereka juga bertanggungjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Ahmad Zubir yang juga Presiden Sime Darby Bhd. diminta bercuti apabila syarikat konglomerat itu rugi lebih RM1.63 bilion akibat lebihan kos dalam projek kendaliannya.

Jawatan Ahmad Zubir yang kontraknya bakal berakhir pada 26 November ini akan dipangku Naib Presiden Eksekutif (Perladangan), Datuk Azhar Abdul Hamid.

Pihak lembaga pengarah syarikat konglomerat itu meminta Ahmad Zubir bercuti sebagai memenuhi dasar amalan urus tadbir korporat.

Sebelum ini Musa mendesak kerajaan mengkaji semula pelantikan jawatan tertinggi dalam GLC bagi memastikan ia diurus dengan baik sekali gus mengelak kerugian seperti yang dialami Pos Malaysia Berhad baru-baru ini.

Mengulas lanjut Musa berkata, siasatan rapi perlu dilakukan bagi memastikan sama ada kerugian yang dialami oleh Sime Darby memberi manfaat kepada pihak tertentu.

Menurutnya, semua pihak perlu mengambil iktibar kerugian yang dialami oleh Pos Malaysia dan Sime Darby kerana ia perkara yang serius dan membabitkan kepentingan awam.

‘‘Setidak-tidaknya kita perlu bersikap adil kepada kepimpinan negara yang bekerja keras memastikan segala bentuk pengurusan dan pentadbiran dilakukan secara telus dan profesional.

‘‘Malah, mereka (CEO) ini dilantik bukan pada zaman kepimpinan sekarang, kita perlu memikirkan bagaimana kaedah pelantikan sedia ada boleh memastikan GLC benar-benar diurus secara profesional,” jelasnya.

Musa bagaimanapun mengakui tidak semua kepimpinan GLC lemah kerana ada di antara mereka yang berjaya membuat keuntungan tetapi masih banyak ruang dan kelemahan yang boleh diperbaiki

No comments: